Friday, 27 May 2011

MENGURUS MASA OPTIMUM ( Masa itu emas)

 Pengurusan Masa Menurut Islam

Muaz bin Jabal melapurkan Nabi Muhammad pernah berkata:
       Setiap hamba pada hari kiamat tidak dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana, selagi belum ditanya berkenaan empat perkara:
  • Umur: di mana dihabiskan ketika di dunia?
  • Waktu remaja: bagaimana dia menghadapi ujian pada waktu itu?
  • Harta: apa sumber dan ke mana dibelanjakan?
  • Ilmu: apakah dia beramal dengan ilmunya?
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran."                                                                             (Surah al-Asr: 1-3)

Setiap orang perlu bijak dalam mengurus masa yang ada. Umumnya setiap insan dianugerahkan masa yang sama iaitu selama 24 jam sehari bagi memenuhi keperluan hidup seharian. Namun acapkali kita mendengar ucapan'`Tidak ada masa'  atau 'Tidak cukup masa' dan sebagainya  malahan perkataan itu mulai diterima umum sebagai alasan yang kukuh bagi menangguhkan sesuatu tugasan.

Jam Dalam Al-Quran

Allah membari penekanan tentang kepentingan masa kepada manusia dengan menggunakan perkataan "Demi Masa" pada awal surah al-Asr. Justeru jelas al-Quran memberikan peringatan kepada umat Islam berkenaan pengurusan masa yang cekap.
3 peristiwa penting yang telah ditentukan masanya!
  • Jam Zakat
          "...... dan tunaikan zakat bila tiba hari menuainya......."   
                                                                                                                              (Surah al-An'am :141)
  • Jam Kiamat
          "Katakanlah sesungguhnya pengeta huab akan waktu itu(hai kiamat) berada disisi Allah.                       Hanya  Dialah yang menguruskan waktu sebaik-baiknya"               (Surah al-A'raf: 187)                                         
  • Jam Kematian
         "Dan tidak mungkin Allah melewati ajal seseorang itu jika tiba  masanya. Dan Allah tahu apa
          yang kamu  lakukan."                                                                  (Surah al-Munafiqun: 11)
                                                 
Sifat-sifat Umum Masa:

Masa Bergerak Pantas   

Kesedaran pada masa yang berlalu begitu pantas di kalangan manusia dinyatakan dalam Al-Quran,  "Seolah-olah di hari Mahsyar kelak mereka baru dapat merasakan bahawa hidup di dunia, lama masanya hanyalah di antara semalam atau sehari semalam."           (Surah an-Nazi'at: 46)

Masa Tidak Akan Kembali Lagi  

   Dalam al-Quran juga,diceritakan kelak bagaimana golongan yang lalai akan berdoa kepada Allah untuk dilanjutkan lagi usianya bagi memudahkannya melakukan amal kebaikan. (Surah al-Munafiqun: 9-10)


Konsep Kualiti Masa
         Kualiti masa ditentukan oleh manusia itu sendiri. Dalam surah al-Asr, dinyatakan satu bentuk keuntungan bagi orang-orang beriman yang mengisi masa mereka dengan amal kebaikan serta menasihati untuk kebenaran dan kesabaran. 

Kisah Nabi Berdakwah dengan Jin:

         Tatkala penduduk Taif muak dan menolak mentah-mentah ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Maka beliau   menggunakan masa yang ada untuk meneruskan dakwah kepada golongan Jin di salah satu lembah yang bernama Nakhlah. Tatkala Rasulullah sedang bersolat dan memperdengarkan bacaan al-Quran maka datang sekumpulan jin (tujuh kesemuanya) daripada ahli Nasibin menerima dakwah beliau. Kisah ini direkodkan dalam Surah al-Ahqaf: 29-31 dan Surah al-Jin:1-13) 


Kisah nabi di atas menjelaskan bahawa kualiti masa adalah waktu yang digunakan bagi mencapai sesuatu objektif.
         Masa juga adalah kos dalam kehidupan seharian manusia. Seseorang individu berhak menentukan sama ada kos itu berbaloi dengan hasil yang diusahakan.
        Sebagai contoh, A adalah pemilik butik pakaian. Setiap jam adalah kos untuk pekerja A menghasilkan satu pasang baju.
Upah pekerja : RM7 bagi sejam.
Satu pasang baju Melayu memerlukan 3 jam bagi disiapkan.
Oleh itu,kos membayar pekerja: 3 jam X RM7 = RM21.
Bagaimana jika pekerja A memerlukan 4 jam bagi menyiapkan satu pasang baju?
Kos kita menjadi : 4 jam X RM7 = RM28

BERLUMBA-LUMBA MENCARI KEKAYAAN

Berlumba-lumba mencari kekayaan

Daripada Ibn.Abbas Nabi berkata:
"Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia lupa tentangnya ialah waktu sihat dan masa lapang."               (Diriwayatkan oleh Bukhari)

      Manusia perlu menggunakan masa yang ada iaitu masa lapang dan sihat sebagai modal untuk mendapat keuntungan dan kejayaan. Ini kerana masa lapang yang tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat akan menyebabkan manusia lalai dengan melakukan perkara yang sia-sia.

Terdapat beberapa ayat al-Quran yang turut menyarankan supaya umat Islam berlumba-lumba membuat perkara kebaikan seperti yang dinyatakan dalam surah al-Hadid: ayat 21,Surah Ali Imran: ayat 114 dan surah al-Maidah: ayat 48.

Tiada Istilah Masa Kosong

Abdullah bin Mas'ud pernah berkata;
" Belum pernah saya menyesal. Melainkan penyesalan saya pada setiap hari apabila matahari terbenam, semakin singkat umur saya, sedangkan amalan saya takut-takut tidak bertambah".

Oleh itu,lakukan muhasabah pada masa yang ada. Bagaimana waktu yang ada iaitu selama 24 jam itu dimanfaatkan?
Allah berfirman:
"Allah menjadikan waktu malam dan siang. Sesungguhnya hasil daripada pertukaran itu menjadi pengajaran kepadaorang-orang yang mengetahui"            (Surah an-Nur:44)

SIKAP MANUSIA TERHADAP MASA

Sentiasa Menentukan Jadual Waktu

         Miliki perancangan harian yang tersusun berhubung soal masacdan peribadi. Pengurusan masa adalah suatu perkara yang mencabar jika benar-benar sibuk dengan perkara yang dijalankan contohnya bisnes. Sudah menjadi budaya usahawan kini bagi mengadakan siri-siri perjumpaan bisnes ketika waktu makan tengahari. Justeru sebagai usahawan yang menghargai masa, jadual harian yang dirancang perlu dibahagikan kepada dua:

Jadual Fleksibel

      Jadual fleksibel adalah penetapan waktu yang bersifat relatif terhadap keperluan semasa seperti mesyuarat yang perlu kepada keputusan segera. Jadual fleksibel juga melibatkan pertemuan-pertemuan yang ditentukan berdasarkan waktu pelanggan.

Jadual Tetap

      Jadual tetap pula adalah aktiviti-aktiviti yang melibatkan ibadah fardhu, mesyuarat dan pemantauan berkala, pembayaran hutang dan gaji serta memerlukan komitmen yang tinggi dan secara konsisten. Sebagaimana Allah berfirman, "...sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman." (surah an-Nisa':103)

Membazir Atau Mencuri Masa

Bila dan bagaimana yang dikatakan membazir atau mencuri masa?

Kisah Mahasiswa 1 :

      Seorang mahasiswa melakukan tanggungjawab harian dengan menghadiri kuliah,menyiapkan laporan tugasan dan menjawab kertas peperiksaan. Kebanyakan waktu dihabiskan di bilik kuliah,kafe dan asrama. Namun, mahasiswa itu menggunakan masa yang diperuntukkan untuk hal peribadi seperti waktu tidur,waktu berhibur dan sebagainya dengan melibatkan diri dalam persatuan serta menjalankan bisnes bagi menampung kos pengajiannya.

Kisah Mahasiswa 2 :

      Mahsiswa ini juga mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kisah di atas. Namun,terdapat perbezaan apabila masa yang diperuntukkan untuk hal peribadi dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak menjurus kepada objektif sebagai pelajar seperti minat yang melampau terhadap motosikal dan permainan video.

      Kisah yang diberikan menerangkan bagaimana sikap mahasiswa menilai masa terluang yang ada dalam mencapai objektif sebagai pelajar.
      Sebagai contoh waktu tidur normal bagi orang dewasa hanya selama lima hingga enam jam. Sekiranya mengamalkan tidur yang berkualiti, tentunya masa yang diambil lebih sedikit berbanding waktu normal. Kerana konsep tidur yang berkualiti adalah, "tidur sekejap,kepuasan berpanjangan."